Monday 3 September 2012

9 TIPS PENJAGAAN RADIATOR


Tempoh hari saya telah ceritakan mengenai langkah-langkah yang anda perlu lakukan jika enjin anda overheating dalam post 10 Punca EnjinJadi Panas dan ada sebab yang membabitkan radiator. Kini saya ingin kongsikan satu tips yang dapat menjimatkan kos penyelengaraan kereta iaitu PENJAGAAN RADIATOR.

Radiator merupakan komponen sampingan terpenting dalam sesebuah kereta yang menggunakan sistem penyejukkan air. Namun begitu terdapat juga kereta yang tidak mempunyai radiator kerana ia menggunakan sistem penyejukkan udara seperti VW atau volkswagon.


=======================================
Kelemahan dan kebaikan sistem penyejukkan air:

1. Sistem penyejukkan air dapat menghalang enjin menjadi terlalu panas kerana air digunakan untuk menyejukkan bahagian enjin dan kemudian melalui radiator, air akan disejukkan sebelum masuk kembali ke dalam enjin. Dengan cara ini dalam keadaan berhenti pun enjin dapat dihidupkan pada jangkamasa yang lama tanpa menghadapi masalah overheating. Tetapi enjin yang menggunakan sistem penyejukkan udara akan menghadapi masalah overheating apabila kereta tidak bergerak dalam satu jangkamasa yang lama kerana ia memerlukan udara yang bergerak untuk menyejukkan enjin.

2. Sistem penyejukkan air tidaklah terlalu lasak seperti sistem penyejukkan udara. Ia memerlukan penyelengaraan dari masa ke semasa dan sebaliknya untuk sistem penyejukkan udara.

=====================================

Cara penyelenggaraan radiator:

Setiap 3 bulan:

1. Buka kunci hos dibahagian bawah radiator (kunci ini biasanya diperbuat daripada plastik) dan penutup radiator dan biarkan air mengalir sehingga tiada lagi air mengalir daripada radiator.

2. Buka air daripada pili (mesti dengan kadar aliran yang sederhana kuat) dan masukkan ke dalam radiator, tunggu sekejap sehingga air mula keluar daripada radiator, kemudian hidupkan injin.

3. Biar enjin melahu dan air mengalir keluar sehingga air yang keluar daripada radiator tidak lagi berkarat atau berwarna teh susu atau milo.

4. Matikan enjin, pasangkan kembali kunci hos di bahagaian bawah radiator dan isikan radiator dengan air pili tanpa menggunakan coolant sehingga penuh.

5. Hidupkan enjin tanpa menutup penutup radiator. Sepatutnya, selepas beberapa ketika, apabila enjin panas, air di dalam radiator tidak akan mendidih. Kalau mendidih, ini bermakna terdapat non-function di bahagian tertentu sistem penyejukkan. Mungkin radiator tersumbat, atau termostat tidak berfungsi.

6. Perkara ini perlu dilakukan setiap tiga bulan atau lebih kerap bagi mengelakkan radiator tersumbat atau sistem aliran air di dalam enjin tersumbat dengan karat air atau karat besi. Jika ini berlaku, suhu injin tidak lagi menjadi normal dan mungkin akan naik sedikit dan besar kemungkinan, overheating boleh berlaku.

7. Penggunaan coolant boleh memendekkan jangkahayat pam air dan termostat dan juga boleh menyebabkan radiator tersumbat.


8. Sekiranya radiator tersumbat, terdapat kedai yang boleh membersihkan radiator tanpa perlu menanggalkan radiator dengan menggunakan mesin khas. Harga upah dalam sekitar RM35-RM50.

9. Sekiranya radiator bocor, saya nasihatkan, ambil tindakan segera dengan menukar radiator sama ada yang baru atau secondhand (kedai potong) kerana jika dibiarkan, kemungkinan overheating boleh berlaku dan kos membaiki overheating ialah disekitar RM1000 – RM1500 bergantung kepada teruknya kerosakan. Kos penukaran radiator secondhand (kedai potong) kurang dari RM200. Jadi fikirlah dengan bijak!

Jumpa lagi di tips yang lain. Yosh!



Sunday 2 September 2012

10 PUNCA ENJIN JADI PANAS


Apabila anda melihat kereta berasap atau terbakar di tepi jalan, tentu ada sesuatu yang tidak kena pada enjin kereta berkenaan. Antara puncanya ialah:

  1. Kekurangan air dalam radiator yang menyebabkan enjin panas
  2. Paip radiator tersumbat
  3. Kekotoran pada sirip radiator
  4. Kerosakan pada kipas dan termostat sistem penyejuk
  5. Sistem penyalaan kurang tepat
  6. Kerosakan pada sistem saluran petrol
  7. Ekzos tersumbat
  8. Masalah cekam
  9. Brek bergesel
  10. Dan cara pengendalian kenderaan yang kurang baik turut menyebabkan enjin menjadi panas.

Enjin yang terlalu panas boleh mengundang bahaya sekiranya lewat bertindak kerana ia boleh menyebabkan kenderaan anda berasap, terbakar dan seterusnya meletup.

Apabila enjin kereta anda terlalu panas, berhentilah di tepi jalan dengan tempat teduh. Anda tidak harus panik, sebaliknya memberhentikan kereta dan cuba lakukan pemeriksaan sendiri terlebih dulu.

========================================================
 Langkah Pertama:

Tanpa mematikan enjin kereta, buka bonet kenderaan untuk menyejukkan enjin sementara waktu dan periksa salah satu daripada punca yang dinyatakan tadi. Selepas itu, periksa radiator kenderaan untuk memastikan tidak berlaku kebocoran di bahagian itu.

Langkah Kedua:

Selepas itu periksa tali kipas. Sekiranya ada kebocoran pada radiator atau tali kipas terputus, matikan enjin. Jika tiada kebocoran pada radiator dan tali kipas masih elok, hidupkan enjin kenderaan dan jalankannya seketika pada putaran yang lebih tinggi daripada biasa.

Langkah itu adalah untuk membolehkan udara mengalir melalui sirip-sirip radiator dengan jumlah yang banyak. Air dalam radiator itu akan menjadi sejuk dan pam air akan bekerja lebih cepat sehingga air penyejuk dapat dialirkan dengan lebih baik.

Langkah Ketiga:

Tidak lama selepas itu suhu enjin akan menurun. Kemudian turunkan putaran enjin tadi dan buka penutup radiator. Penutup itu perlu dibuka secara berhati-hati untuk mengelakkan bahaya semburan air dan wap panas yang keluar daripada radiator.

Langkah Keempat:

Isikan air ke dalam radiator secara perlahan sementara enjin masih dalam keadaan biasa dan matikan enjin sekiranya sudah menjadi sejuk. Sekiranya air terlalu sedikit dalam radiator, ia akan menyebabkan enjin menjadi panas dan wap akan keluar daripada radiator berkenaan. Dalam keadaan itu, matikan enjin dengan segera dan periksa radiator.

========================================================

Untuk memeriksa radiator, anda boleh ikuti langkah ini:

Pertamanya, buka tutup radiator dulu dan ketukannya menggunakan belakang pemutar skru dan putar perlahan menggunakan kain.

Pegang tutup dengan kemas sehingga wap dalam radiator dapat mengalir keluar dan tekanan dalam radiator menjadi rendah. Selepas itu barulah penutupnya dilepaskan. Sekiranya, ada kebocoran pada radiator terutama pada bahagian sambungan atau saluran paipnya, hidupkan enjin pada putaran yang lebih tinggi daripada biasa serta periksa tempat sambungan itu.

Keadaan itu penting kerana ada sesetengah kebocoran tidak dapat dilihat pada putaran enjin yang rendah. Sekiranya ada kebocoran, ketatkan skru pengikat dan jika gelung pengikat rosak, gunakan kawat sebagai ganti. Jika ada kebocoran, balut bahagian yang rosak dengan pita pelekat dan perkuatkan dengan kawat. Anda perlu ingat pembaikan itu hanya untuk sementara waktu sebelum kenderaan dibawa ke bengkel berhampiran.

Paip radiator yang tersumbat berpunca daripada kerak atau karat akan mengganggu kitaran air atau menyebabkannya terhenti walaupun ada banyak air. Keadaan itu boleh diketahui dengan memeriksa aliran air pada pili pembuangan. Jika aliran air tidak lancar atau tidak keluar sama sekali, keadaan itu menunjukkan paip radiator tersumbat.

Untuk membaikinya, buka pili air pada blok enjin sehingga air penyejuk dapat dikeluarkan. Buka tutup radiator dan cuci dengan air bersih selama kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan kerak atau karat itu. Kekotoran pada sirip radiator disebabkan daun kering, serangga atau lumpur yang melekat pada bahagian muka radiator akan menyebabkan aliran udara penyejuk akan terganggu hingga air menjadi panas.

Kekotoran pada permukaan itu boleh dibersihkan dengan menggunakan udara tekanan tinggi atau menyemburnya menggunakan air. Kekeliruan pada langkah pengendalian kenderaan turut menyebabkan enjin kenderaan menjadi panas. Walaupun enjin berada dalam keadaan baik tetapi apabila kenderaan sedang mendaki bukit atau membawa muatan berlebihan, ia boleh menjadi panas.

Enjin itu boleh disejukkan kembali dengan cara menghentikan kenderaan anda sebentar, membuka bonet, hidupkan enjin pada putaran tinggi atau isikan radiator dengan air sejuk.

Saturday 1 September 2012

PUNCA PENGGUNAAN MINYAK PETROL BERTAMBAH


Sebelum ini anda mengisi RM30 untuk mengisi petrol kereta anda dan boleh bergerak hingga 200 kilometer. Kini dengan jumlah yang sama kereta anda cuma dapat bertahan 150 kilometer saja. Ada yang mengatakan kereta anda sudah kuat makan petrol.


Penggunaan petrol yang bertambah disebabkan beberapa faktor seperti:

1. Kebocoran, permukaan bahan api dalam ruang pelampung karburetor terlalu tinggi, penapis udara tersumbat atau pelarasan skru pada karburetor kurang tepat.

2. Saat penyalaan kurang tepat, plag haus, suis pemutus arus terbakar, mampatan tidak cukup, injap yang tidak berfungsi, ekzos tersumbat, masalah pada cekam, brek bergesel ATAU KARBON YANG TERLALU TEBAL.

Bagi mengetahui puncanya, pertama, pemilik perlu memeriksa dengan melihat pada tempat meletak kenderaan.

Jika ada bekas titisan minyak atau terhidu bau petrol di kawasan itu, bermakna kenderaan mungkin mengalami kebocoran dan ia perlu dihantar ke bengkel untuk dibaiki.

Bagaimanapun, jika kebocoran berlaku pada sambungan paip petrol, ketatkan sambungan yang longgar menggunakan spanar dan jika masih bocor, buka skru berkenaan dan lilitkan benang vinil dan ketatkan sambungan itu kembali.

Sebenarnya ada beberapa tip dan cara yang paling minimum untuk menjimatkan penggunaan bahan api sekali gus menjimatkan perbelanjaan harian anda.

Sehubungan itu, adalah penting bagi anda memerhatikan kadar penggunaan petrol bukan sekadar harganya tinggi tetapi penggunaan bahan itu secara berlebihan menandakan enjin kereta anda mengalami kerosakan.

Jika anda mendapati penggunaan petrol pada kenderaan secara berlebihan, periksa puncanya sebelum membeli sebarang alat bantuan mengurangkan penggunaan petrol yang banyak di pasaran.

Ini kerana pembelian alat berkenaan mungkin tidak memberi kesan sepatutnya jika keadaan enjin kereta anda mengalami masalah hingga menyebabkan penggunaan petrol bertambah. Umumnya cara terbaik mengekalkan tahap penggunaan petrol ialah dengan melakukan pelarasan enjin (timing).

Selain itu, perkara penting yang perlu diketahui pengguna ialah sikap dan cara pemanduan kerana ia banyak mempengaruhi penggunaan petrol kereta. Antaranya, menggunakan gear dua atau tiga terlalu lama sebelum menukar ke gear seterusnya, tabiat menekan pedal minyak terlalu kuat ketika pemanduan mendatar atau menuruni bukit boleh menyebabkan penggunaan petrol yang berlebihan. Sehubungan itu, apabila anda melakukan pelarasan enjin, ia membantu mengurangkan penggunaan petrol sehingga 15 peratus di samping teknik memandu yang salah juga menjadi punca penggunaan petrol melebihi 20 peratus atau lebih.

Di samping itu, anda juga perlu mengetahui apabila membawa bebanan yang lebih daripada kadar yang sesuai juga menyebabkan kadar penggunaan petrol melebihi dari tahap biasa.

Oleh itu, anda perlu perhatikan dalam but kereta anda, mungkin ada banyak barang yang tidak sepatutnya berada dalam but tetapi dibawa ke sana ke mari. Ia pasti menambah beban enjin. Anda harus membawa barang yang perlu saja seperti alat membaiki kereta dan alat yang dapat membantu ketika kecemasan.

Karier (alat membawa barang atas bumbung kereta) juga boleh menambah penggunaan petrol pada kadar lima peratus. Karier menghalang udara berlepas ke belakang dengan sempurna ketika kereta memecut.

Enjin dalam keadaan panas normal juga boleh membantu meningkatkan perbatuan dan prestasi kereta anda. Biarkan enjin panas sebelum memulakan perjalanan dan jangan sekali-kali memulakan perjalanan tanpa terlebih dulu merancang jalan mana untuk ke destinasi.