Apabila anda melihat kereta berasap atau terbakar di tepi
jalan, tentu ada sesuatu yang tidak kena pada enjin kereta berkenaan. Antara
puncanya ialah:
- Kekurangan air dalam radiator yang menyebabkan enjin panas
- Paip radiator tersumbat
- Kekotoran pada sirip radiator
- Kerosakan pada kipas dan termostat sistem penyejuk
- Sistem penyalaan kurang tepat
- Kerosakan pada sistem saluran petrol
- Ekzos tersumbat
- Masalah cekam
- Brek bergesel
- Dan cara pengendalian kenderaan yang kurang baik turut menyebabkan enjin menjadi panas.
Enjin yang terlalu panas boleh mengundang bahaya sekiranya
lewat bertindak kerana ia boleh menyebabkan kenderaan anda berasap, terbakar
dan seterusnya meletup.
Apabila enjin kereta anda terlalu panas, berhentilah di tepi
jalan dengan tempat teduh. Anda tidak harus panik, sebaliknya memberhentikan
kereta dan cuba lakukan pemeriksaan sendiri terlebih dulu.
========================================================
Tanpa mematikan enjin kereta, buka bonet kenderaan untuk
menyejukkan enjin sementara waktu dan periksa salah satu daripada punca yang
dinyatakan tadi. Selepas itu, periksa radiator kenderaan untuk memastikan tidak
berlaku kebocoran di bahagian itu.
Langkah Kedua:
Selepas itu periksa tali kipas. Sekiranya ada kebocoran pada
radiator atau tali kipas terputus, matikan enjin. Jika tiada kebocoran pada
radiator dan tali kipas masih elok, hidupkan enjin kenderaan dan jalankannya
seketika pada putaran yang lebih tinggi daripada biasa.
Langkah itu adalah untuk membolehkan udara mengalir melalui
sirip-sirip radiator dengan jumlah yang banyak. Air dalam radiator itu akan
menjadi sejuk dan pam air akan bekerja lebih cepat sehingga air penyejuk dapat
dialirkan dengan lebih baik.
Langkah Ketiga:
Tidak lama selepas itu suhu enjin akan menurun. Kemudian
turunkan putaran enjin tadi dan buka penutup radiator. Penutup itu perlu dibuka
secara berhati-hati untuk mengelakkan bahaya semburan air dan wap panas yang
keluar daripada radiator.
Langkah Keempat:
Isikan air ke dalam radiator secara perlahan sementara enjin
masih dalam keadaan biasa dan matikan enjin sekiranya sudah menjadi sejuk.
Sekiranya air terlalu sedikit dalam radiator, ia akan menyebabkan enjin menjadi
panas dan wap akan keluar daripada radiator berkenaan. Dalam keadaan itu,
matikan enjin dengan segera dan periksa radiator.
========================================================
Untuk memeriksa radiator, anda boleh ikuti langkah ini:
Pertamanya, buka tutup radiator dulu dan ketukannya
menggunakan belakang pemutar skru dan putar perlahan menggunakan kain.
Pegang tutup dengan kemas sehingga wap dalam radiator dapat
mengalir keluar dan tekanan dalam radiator menjadi rendah. Selepas itu barulah
penutupnya dilepaskan. Sekiranya, ada kebocoran pada radiator terutama pada
bahagian sambungan atau saluran paipnya, hidupkan enjin pada putaran yang lebih
tinggi daripada biasa serta periksa tempat sambungan itu.
Keadaan itu penting kerana ada sesetengah kebocoran tidak
dapat dilihat pada putaran enjin yang rendah. Sekiranya ada kebocoran, ketatkan
skru pengikat dan jika gelung pengikat rosak, gunakan kawat sebagai ganti. Jika
ada kebocoran, balut bahagian yang rosak dengan pita pelekat dan perkuatkan
dengan kawat. Anda perlu ingat pembaikan itu hanya untuk sementara waktu
sebelum kenderaan dibawa ke bengkel berhampiran.
Paip radiator yang tersumbat berpunca daripada kerak atau
karat akan mengganggu kitaran air atau menyebabkannya terhenti walaupun ada
banyak air. Keadaan itu boleh diketahui dengan memeriksa aliran air pada pili
pembuangan. Jika aliran air tidak lancar atau tidak keluar sama sekali, keadaan
itu menunjukkan paip radiator tersumbat.
Untuk membaikinya, buka pili air pada blok enjin sehingga
air penyejuk dapat dikeluarkan. Buka tutup radiator dan cuci dengan air bersih
selama kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan kerak atau karat itu. Kekotoran
pada sirip radiator disebabkan daun kering, serangga atau lumpur yang melekat
pada bahagian muka radiator akan menyebabkan aliran udara penyejuk akan
terganggu hingga air menjadi panas.
Kekotoran pada permukaan itu boleh dibersihkan dengan
menggunakan udara tekanan tinggi atau menyemburnya menggunakan air. Kekeliruan
pada langkah pengendalian kenderaan turut menyebabkan enjin kenderaan menjadi
panas. Walaupun enjin berada dalam keadaan baik tetapi apabila kenderaan sedang
mendaki bukit atau membawa muatan berlebihan, ia boleh menjadi panas.
Enjin itu boleh disejukkan kembali dengan cara menghentikan
kenderaan anda sebentar, membuka bonet, hidupkan enjin pada putaran tinggi atau
isikan radiator dengan air sejuk.
No comments:
Post a Comment