Sebelum ini anda mengisi RM30 untuk mengisi petrol kereta
anda dan boleh bergerak hingga 200 kilometer. Kini dengan jumlah yang sama
kereta anda cuma dapat bertahan 150 kilometer saja. Ada yang mengatakan kereta
anda sudah kuat makan petrol.
Penggunaan petrol yang bertambah disebabkan beberapa faktor
seperti:
1. Kebocoran, permukaan bahan api dalam ruang pelampung
karburetor terlalu tinggi, penapis udara tersumbat atau pelarasan skru pada
karburetor kurang tepat.
2. Saat penyalaan kurang tepat, plag haus, suis pemutus arus
terbakar, mampatan tidak cukup, injap yang tidak berfungsi, ekzos tersumbat,
masalah pada cekam, brek bergesel ATAU KARBON YANG TERLALU TEBAL.
Bagi mengetahui puncanya, pertama, pemilik perlu memeriksa
dengan melihat pada tempat meletak kenderaan.
Jika ada bekas titisan minyak atau terhidu bau petrol di
kawasan itu, bermakna kenderaan mungkin mengalami kebocoran dan ia perlu
dihantar ke bengkel untuk dibaiki.
Bagaimanapun, jika kebocoran berlaku pada sambungan paip
petrol, ketatkan sambungan yang longgar menggunakan spanar dan jika masih
bocor, buka skru berkenaan dan lilitkan benang vinil dan ketatkan sambungan itu
kembali.
Sebenarnya ada beberapa tip dan cara yang paling minimum
untuk menjimatkan penggunaan bahan api sekali gus menjimatkan perbelanjaan
harian anda.
Sehubungan itu, adalah penting bagi anda memerhatikan kadar
penggunaan petrol bukan sekadar harganya tinggi tetapi penggunaan bahan itu
secara berlebihan menandakan enjin kereta anda mengalami kerosakan.
Jika anda mendapati penggunaan petrol pada kenderaan secara
berlebihan, periksa puncanya sebelum membeli sebarang alat bantuan mengurangkan
penggunaan petrol yang banyak di pasaran.
Ini kerana pembelian alat berkenaan mungkin tidak memberi
kesan sepatutnya jika keadaan enjin kereta anda mengalami masalah hingga
menyebabkan penggunaan petrol bertambah. Umumnya cara terbaik mengekalkan tahap
penggunaan petrol ialah dengan melakukan pelarasan enjin (timing).
Selain itu, perkara penting yang perlu diketahui pengguna
ialah sikap dan cara pemanduan kerana ia banyak mempengaruhi penggunaan petrol
kereta. Antaranya, menggunakan gear dua atau tiga terlalu lama sebelum menukar
ke gear seterusnya, tabiat menekan pedal minyak terlalu kuat ketika pemanduan
mendatar atau menuruni bukit boleh menyebabkan penggunaan petrol yang
berlebihan. Sehubungan itu, apabila anda melakukan pelarasan enjin, ia membantu
mengurangkan penggunaan petrol sehingga 15 peratus di samping teknik memandu
yang salah juga menjadi punca penggunaan petrol melebihi 20 peratus atau lebih.
Di samping itu, anda juga perlu mengetahui apabila membawa
bebanan yang lebih daripada kadar yang sesuai juga menyebabkan kadar penggunaan
petrol melebihi dari tahap biasa.
Oleh itu, anda perlu perhatikan dalam but kereta anda,
mungkin ada banyak barang yang tidak sepatutnya berada dalam but tetapi dibawa
ke sana ke mari. Ia pasti menambah beban enjin. Anda harus membawa barang yang
perlu saja seperti alat membaiki kereta dan alat yang dapat membantu ketika
kecemasan.
Karier (alat membawa barang atas bumbung kereta) juga boleh
menambah penggunaan petrol pada kadar lima peratus. Karier menghalang udara
berlepas ke belakang dengan sempurna ketika kereta memecut.
Enjin dalam keadaan panas normal juga boleh membantu
meningkatkan perbatuan dan prestasi kereta anda. Biarkan enjin panas sebelum
memulakan perjalanan dan jangan sekali-kali memulakan perjalanan tanpa terlebih
dulu merancang jalan mana untuk ke destinasi.
No comments:
Post a Comment